Selamat datang di Kawasan Penyair Singapura. Terima kasih atas kunjungan Anda

Kamis, 21 Oktober 2010

Suratman Markasan



Anak Watan Singapura ini dilahirkan di Pasir Panjang 29 Disember 1930 Setelah menamatkan pelajaran, beliau mengajar di beberapa sekolah rendah dan menengah di Singapura.Beliau juga dilantik Inspektor Pakar Bahasa dan Kesusasteraan Melayu di Kementerian Pelajaran Singapura pada Julai 1976., Pada Januari 1980, beliau dilantik Penolong Pengarah Pengajian Melayu & Tamil di tempat yang sama. Pada September 1981 beliau menjadi pensyarah bahasa dan sastera Melayu di Institut Pendidikan Singapura sehingga bersara pada tahun 1995. Piagam dan penghargaan antara lain :
Anugerah Tokoh Pujangga UPSI (2002), Anugerah Sastera Nusantara Johor Baharu (1999), Anugerah Tun Seri Lanang (1994), Hadiah Buku NBDCS (1992), Hadiah Cemerlang NBDCS (1990), SEA Write Award (1989), Hadiah Sastera (Penghargaan) Penelitian Hadiah Sastera Singapura : Puisi (1985), Hadiah Cemerlang NBDCS (1982), Anugerah Montblanc NUS Centre for the Arts Literary Award (1977), Hadiah Penghargaan Peraduan Menulis Cerpen Kementerian Kebudayaan Singapura (1962), Hadiah Penghargaan Peraduan Menulis Novel DBP (1958). Kumpulan puisinya antara lain : Puisi Luka Dan Puisi Duka (puisi-puisi pilihan 1979 - 2002, Pustaka Nasional,2004) , Puisi- Puisi Perjalanan dan Novelnya “ Tiga Lelaki’ (Pustaka Nasional,2005) dll.

DOA DAN WASIAT

Aku tidak berdoa untuk anak-anakku
menjadi kaya
kerana kaya akan
membencinya orang tak punya
Aku tidak berdoa untuk anak-anakku
menjadi senang
kerana senang akan
menyesatkan jalan pulang
Aku tidak berdoa untuk anak-anakku
menjadi orang berkuasa
kerana yang berkuasa akan
merampas kebebasan manusia
Aku tidak berdoa untuk anak-anakku
menjadi orang terhormat
kerana mereka akan
membohongi isteri dan pengundinya
Aku hanya berdoa untuk anak-anakku
bahagia di dunia sentosa di akhirat
kerana bahagia di dunia
tak merampas wang ahli neraka
sentosa di akhirat
tak mencabut bahagia ahli syurga.

Washington DC
25 September 1988